Saturday, August 6, 2011

Diari Ramadan di bumi USA : Sebuah Prologue


Kriiiiiing! Kriiiiing ! Kriiiiiing !

Telefon berdering malas. Ya, memang telefon berbunyi tapi itu bunyi alarm yang diset malam tadi. Saya bingkas bangun melompat turun dari katil empuk. Sejurus merasa tanah dipijak, saya terus berlari menuruni tangga untuk bersahur. Basuh muka gosok gigi apa yang patut dan terus duduk di meja makan.

Lauk berbuka petang tadi masih ada. Tak elok membazir kata orang, saya panaskan guna microwave dan terus menjamah sahur. Meskipun rasa mengantuk masih ada, saya gagahkan juga untuk bersahur kerana sahur itu sunat. Apa lagi yang membezakan puasa kita dengan puasa orang kafir ye dok ?

Pagi dan tengah hari itu hening seperti biasa. Tenaga yang dijana berbekalkan sahur masih ada. Tiada aktiviti menarik sangat. Saya hanya menonton tivi sambil menggoyang kaki bermalas-malasan.Tiada yang menarik sangat lagi pun.

Petang pun menjelma. Saya bersiap sedia solat Asar dan mula menetapkan hala tuju. Setelah bersiap ala kadar dan bersederhana, saya terus melihat jadula hari Selasa. Bazaar Taman Pekaka. Saya pun mula bergerak ke situ dengan muka yang ceria dan bersungguh-sungguh.

Sesampainya saya di sana, orang sudah ramai. Bau ayam percik mula menusuk hidung. Ayam percik tidak berapa digemari saya. Hanya teksturnya sahaja cantik, merah dengan sos bbq, namun rasanya tidak seberapa. Saya teruskan perjalanan. Saya singgah di gerai menjual lauk pauk. Memang kebiasaan umat manusia berbuka makan nasi dengan lauk. Nasi 2 cawan sudah saya tanak di rumah sebelum saya keluar. Orang bujang sahaja, cukuplah 2 cawan. Saya terus memesan kari ayam seketul dan beberapa ulas sayur dan ulam untuk dibuat berbuka.

Usai membeli, saya teruskan perjalanan. Air tebu yang dibeli semalam agak pahit, mungkin terlalu tua tebu yang dipakai untuk diperah. Saya tetap senyum bila melalui gerai air tebu tersebut meskipun air tebunya semalam pahit. Senyum itu sedekah dan sedekah paling baik adalah di bulan Ramadan. Saya melilau-lilau mencari tebu yang lain. Maksud saya gerai air tebu yang lain. Sejurus menjumpainya, saya menghulur duit tanpa berkata apa-apa, dan menyambar sebungkus air tebu kaler hijau tua. Air tebu tersebut dibungkus dengan plastik berbentuk silinder berdiameter lebih kurang 6 sentimeter dan panjangnya lebih kurang 10 sentimeter. Cukup untuk saya berbuka dan bersahur mungkin. Itupun kalau lepas terawih tak melahap lebihan berbuka.

Item terakhir untuk hari ini adalah kuih-muih. Wajib ada buah Melaka dan donut kerana itu kegemaran saya. Saya terus ke gerai Mak Jemah menjual kuih. Memang banyak kuih yang dijual sehingga saya sendiri tidak mengingati nama mereka. Saya capai buah Melaka dalam plastic kecil. Saya ambil tiga plastik kecil sahaja. Untuk donut, saya capai 2 biji/ketul donut.

Tiba-tiba hati saya meronta untuk dibelikan popia basah. Saya merelakan kerana tak baik menidakkan hati sendiri. Popia basah hari itu nampak sedap kerana sos cili di atasnya masih basah tidak seperti popia basah yang lain yang selalunya kering sos nya di luar. Apabila sosnya kering, ia menjadi keras dan tidak sedap. Selesai memilih duit pun dihulur beserta senyuman ikhlas.

Sejurus sampai ke rumah, saya terus memanggil isteri saya untuk mula menghidang juadah berbuka puasa. Sahutan saya tidak berbalas. Saya cuba sekali lagi namun masih tiada jawapan. Hati saya mula risau, takut-takut sesuatu terjad kepada isteri saya. Setelah menenangkan diri, baru saya sedar  yang saya belum beristeri. Saya sendiri ke dapur dan mula menghidang makanan yang dibeli.

Sementara menunggu waktu berbuka saya menonton Jejak Rasul. Tengok Jejak Rasul sebelum berbuka memang sesuai dan cocok sekali. Kadang-kadang kalau saya nak tukar selera, saya akan tukar ke channel TV1 dan menonton Anak-anak Sidek.

Selesai menjamah ala kadar, saya mandi dan menunaikan solat Maghrib disusuli pula dengan bacaan Al-Quran. Bulan Ramadan yang berkat ini eloklah kalau saya perbanyakkan ibadah. Kalau tidak bila lagi ye dok ?

Saya melihat jam. Lebih kurang 10 minit sebelum Isya, saya akan bergerak ke masjid berdekatan untuk solat Isya dan terawih 8 rakaat. Selalunya saya ke masjid yang sama kerana saya sudah selesa dengan situasi di sekitar masjid itu.

Hari-hari saya musykil. Pada waktu untuk solat Isya, hanya segelintir manusia hadir sedangkan waktu solat Terawih ramai pula yang hadir. Ini seolah-olah solat Terawih itu lebih penting dari solat Isya. Inilah tanggapan masyarakat yang harus diubah agar kita boleh membezakan ibadat dan adat.

Solat terawih 8 rakaat selesai lebih kurang 10.30 malam. Saya kemudiannya akan melakukan solat sunat witir di masjid atau di rumah sahaja bergantung kepada saya juga. Malam itu saya tidur awal kerana esok alarm saya kan berbunyi dan saya perlu bangun sahur dan subuh.




p/s : Ok, saya tipu. Ini hanyalah impian saya.Kah3