Kriiiiiing! Kriiiiing ! Kriiiiiing !
Telefon berdering malas. Ya, memang telefon berbunyi
tapi itu bunyi alarm yang diset malam tadi. Saya bingkas bangun melompat turun
dari katil empuk. Sejurus merasa tanah dipijak, saya terus berlari menuruni
tangga untuk bersahur. Basuh muka gosok gigi apa yang patut dan terus duduk di
meja makan.
Lauk berbuka petang tadi masih ada. Tak elok membazir kata orang,
saya panaskan guna microwave dan terus menjamah sahur. Meskipun rasa mengantuk
masih ada, saya gagahkan juga untuk bersahur kerana sahur itu sunat. Apa lagi
yang membezakan puasa kita dengan puasa orang kafir ye dok ?
Pagi dan tengah hari itu hening seperti biasa. Tenaga
yang dijana berbekalkan sahur masih ada. Tiada aktiviti menarik sangat. Saya
hanya menonton tivi sambil menggoyang kaki bermalas-malasan.Tiada yang menarik
sangat lagi pun.
Petang pun menjelma. Saya bersiap sedia solat Asar dan
mula menetapkan hala tuju. Setelah bersiap ala kadar dan bersederhana, saya
terus melihat jadula hari Selasa. Bazaar Taman Pekaka. Saya pun mula bergerak
ke situ dengan muka yang ceria dan bersungguh-sungguh.
Sesampainya saya di sana, orang sudah ramai. Bau ayam
percik mula menusuk hidung. Ayam percik tidak berapa digemari saya. Hanya
teksturnya sahaja cantik, merah dengan sos bbq, namun rasanya tidak seberapa.
Saya teruskan perjalanan. Saya singgah di gerai menjual lauk pauk. Memang
kebiasaan umat manusia berbuka makan nasi dengan lauk. Nasi 2 cawan sudah saya
tanak di rumah sebelum saya keluar. Orang bujang sahaja, cukuplah 2 cawan. Saya
terus memesan kari ayam seketul dan beberapa ulas sayur dan ulam untuk dibuat
berbuka.
Usai membeli, saya teruskan perjalanan. Air tebu yang
dibeli semalam agak pahit, mungkin terlalu tua tebu yang dipakai untuk diperah.
Saya tetap senyum bila melalui gerai air tebu tersebut meskipun air tebunya
semalam pahit. Senyum itu sedekah dan sedekah paling baik adalah di bulan
Ramadan. Saya melilau-lilau mencari tebu yang lain. Maksud saya gerai air tebu
yang lain. Sejurus menjumpainya, saya menghulur duit tanpa berkata apa-apa, dan
menyambar sebungkus air tebu kaler hijau tua. Air tebu tersebut dibungkus
dengan plastik berbentuk silinder berdiameter lebih kurang 6 sentimeter dan
panjangnya lebih kurang 10 sentimeter. Cukup untuk saya berbuka dan bersahur
mungkin. Itupun kalau lepas terawih tak melahap lebihan berbuka.
Item terakhir untuk hari ini adalah kuih-muih. Wajib
ada buah Melaka dan donut kerana itu kegemaran saya. Saya terus ke gerai Mak
Jemah menjual kuih. Memang banyak kuih yang dijual sehingga saya sendiri tidak
mengingati nama mereka. Saya capai buah Melaka dalam plastic kecil. Saya ambil
tiga plastik kecil sahaja. Untuk donut, saya capai 2 biji/ketul donut.
Tiba-tiba hati saya meronta untuk dibelikan popia
basah. Saya merelakan kerana tak baik menidakkan hati sendiri. Popia basah hari
itu nampak sedap kerana sos cili di atasnya masih basah tidak seperti popia
basah yang lain yang selalunya kering sos nya di luar. Apabila sosnya kering,
ia menjadi keras dan tidak sedap. Selesai memilih duit pun dihulur beserta
senyuman ikhlas.
Sejurus sampai ke rumah, saya terus memanggil isteri
saya untuk mula menghidang juadah berbuka puasa. Sahutan saya tidak berbalas.
Saya cuba sekali lagi namun masih tiada jawapan. Hati saya mula risau,
takut-takut sesuatu terjad kepada isteri saya. Setelah menenangkan diri, baru
saya sedar yang saya belum beristeri.
Saya sendiri ke dapur dan mula menghidang makanan yang dibeli.
Sementara menunggu waktu berbuka saya menonton Jejak
Rasul. Tengok Jejak Rasul sebelum berbuka memang sesuai dan cocok sekali.
Kadang-kadang kalau saya nak tukar selera, saya akan tukar ke channel TV1 dan
menonton Anak-anak Sidek.
Selesai menjamah ala kadar, saya mandi dan menunaikan
solat Maghrib disusuli pula dengan bacaan Al-Quran. Bulan Ramadan yang berkat
ini eloklah kalau saya perbanyakkan ibadah. Kalau tidak bila lagi ye dok ?
Saya melihat jam. Lebih kurang 10 minit sebelum Isya,
saya akan bergerak ke masjid berdekatan untuk solat Isya dan terawih 8 rakaat.
Selalunya saya ke masjid yang sama kerana saya sudah selesa dengan situasi di
sekitar masjid itu.
Hari-hari saya musykil. Pada waktu untuk solat Isya,
hanya segelintir manusia hadir sedangkan waktu solat Terawih ramai pula yang
hadir. Ini seolah-olah solat Terawih itu lebih penting dari solat Isya. Inilah
tanggapan masyarakat yang harus diubah agar kita boleh membezakan ibadat dan
adat.
Solat terawih 8 rakaat selesai lebih kurang 10.30
malam. Saya kemudiannya akan melakukan solat sunat witir di masjid atau di
rumah sahaja bergantung kepada saya juga. Malam itu saya tidur awal kerana esok
alarm saya kan berbunyi dan saya perlu bangun sahur dan subuh.
p/s : Ok, saya tipu. Ini hanyalah impian saya.Kah3
2 comments:
nopal kah..hahaha
citer la yg kat ovc
Post a Comment